Pages

Friday, 18 December 2020

56. A304, Kolej Sheikh Daud Al Fatani


Gambar tahun 1995 di bilik A304 SDAF, Pusat Matrikulasi

2018
Kedatangan Mazha pagi itu disambut kami sekeluarga dengan berbesar hati. 
Pembantu rumah turut membantu menyiapkan beberapa juadah untuk sarapan.

Lebih 20 tahun kami tak jumpa setelah saya meninggalkan UIA pada 1997.

1995

Ada satu hari tu, Mazha mengajak saya temankan dia pergi membeli barang. Saya pun ikut, kami berjalan kaki dari kampus kami yang terletak di atas bukit menuruni bukit ke perhentian bas untuk menunggu bas. Masa itu bas mini berwarna-warni.  Bersesak berhimpit naik bas mini ke Chow Kit.

Saya ketika itu hairan kenapa Mazha nak pergi sampai ke Chow Kit beli barang sedangkan berhampiran kampus kami ada BSC dan TMC  Saya selalu juga pergi BSC sebab tak ramai orang dan tidak sesak.  Relax je beli barang.

Saya tidak pasti macam mana saya boleh akrab dan rapat dengan Mazha ketika itu sedangkan kami ambil kursus yang berbeza.  Dia ambil kursus Pengajian Islam dan saya pula kursus Sastera Inggeris.

Pernah saya naik lif dengan Mazha di bangunan pentadbiran dan ada pensyarah Arab juga.  Sekali Mazha bercakap bahasa Arab dengan pensyarah itu, fasih dan berhabuk bahasa Arab Mazha berkomunikasi dengan pensyarah berkenaan. 

Ketentuan Ilahi mahu saya berkawan dengan orang yang baik kerana itulah kali pertama saya meninggalkan rumah dan berjauhan dari Nenek. 


Saya menginap di bilik di aras tiga blok A sementara Mazha di aras enam blok B di hostel SDAF.
Tetapi Mazha selalu berkunjung dan menghabiskan masa di bilik saya kerana rakan sekolahnya,  Zaharin adalah teman sebilik saya.
Bilik saya ada, 4 orang penghuni. Kami selesa dengan Mazha dan menyenangi sikapnya dan  terus kami jadikan Mazha teman sebilik tidak rasmi kami.


Ada satu malam itu,  saya berselisih faham dengan rakan sebilik saya,  jadi saya mengambil keputusan untuk tidak pulang tidur du bilik tetapi saya pergi ke surau.  Gelap gelita surau masa itu tetapi pintu surau tidak berkunci. . Saya  pun masuk dan berbaring di lantai surau yang  berpermaidani itu.

Tiba-tiba pintu surau  berkuak dan  berbunyi seperti ada orang masuk dan terlihat akan saya cahaya lampu suluh.
Cemas juga saya rasa masa tu.  Hantukah itu?  atau warden datang memeriksa?  Saya matikan diri tanpa sebarang bunyi atau pergerakan.


"Puas koi cari awok satu kampus,  kat sini rupanya", kata Mazha di dalam slanga Pahangnya itu.

"Buat apalah susah susah apa kau cari aku? Aku nak tenangkan fikiran.  Nak sorang-sorang masa ni.  Serabut kepala aku, Dah ok ke kat atas tu?, " tanya saya.

"Takpe. Biar koi temankan awok tapi Koi tak ganggu awok", kata Mazha.
Saya menyuruh dia tidur di hujung sudut surau. Dia berlalu pergi ke sudut tersebut.

Tak lama selepas itu,  saya rasa bersalah pula buat dia macam tu. 
Saya pergi duduk dekat dia.
Saya ceritakan kepada Mazha yang saya tidak pernah duduk asrama dan berjauhan dengan keluarga.Sukar untuk saya menyesuaikan diri.
Rupa-rupanya Mazha pun pertama kali tinggal di asrama.  Dia menasihati saya supaya banyak bersabar dan bertolak ansur kerana tinggal di asrama tidak sama macam tinggal di rumah.  Kat asrama ada bermacam orang dan bermacam ragam.
Selepas itu, saya berjumpa teman teman sebilik saya dan kami bermaafan.  Semenjak itu hubungan kami menjadi lebih baik.

Walaupun Mazha macam saya tidak pernah tinggal di asrama sebelum kami masuk pusat matrikulasi tetapi tidak seperti saya yang agak sukar menyesuaikan diri kerana sudah terlalu selesa tinggal bersama Nenek.

Walaupun kampus tidak jauh dari rumah Nenek dan saya boleh saja berulang-alik ke kelas tetapi Nenek mahu saya tinggal di kampus kerana sudah tiba masanya untuk saya hidup  berdikari.  Saya akur dengan kehendak Nenek. 
Ketika hari pertama saya mendaftar di kampus,  Nenek dan pakcik saya yang hantar..

#coretanfuzzfadhilah