Pages

Saturday, 19 December 2020

79. Gadis dari Jerman

Pada 2018, saya tinggal di sebelah rumah Mak Lang saya di atas tapak tanah pusaka arwah nenek.
Suatu hari saya teringat kepada seorang gadis Melayu dari Jerman yang pernah bermalam di rumah Mak Lang yang  ketika itu  menetap di Ampang-Ulu Klang.

Mak Lang terkejut dan kagum dengan ingatan saya  yang masih boleh mengingati gadis tersebut walapun saya jumpa gadis tersebut sekali sahaja pada tahun 1989, ketika itu saya berumur 12 tahun dan gadis tersebut berusia 16 tahun.
Ketika itu gadis dari Jerman baru sampai  ke Kuala Lumpur dan dijemput oleh pakcik dan makciknya.

Gadis tersebut merupakan anak saudara kepada biras Mak Alang. Biras Mak Alang merupakan isteri kepada adik Pak Lang dan  mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Alis yang berumur 3 atau 4 tahun ketika itu.
Alis, ibu bapanya bersama sepupu Alis  dari Jerman  tiba di rumah Mak Alang. Ketika itu bapa Alis bertugas sebagai seorang magistrate di Pahang.

Gadis tersebut datang ke Malaysia dari Jerman seorang diri tanpa ditemani sesiapa. Katanya sudah biasa sebab setiap tahun dia akan datang Malaysia seorang diri.Fasih juga dia berbahasa Melayu. Kagum saya masa itu.

Sepupu Alis, gadis dari Jerman itu lahir dan membesar di Jerman setelah bapanya, abang kepada ibu Alis berkahwin dengan wanita Jerman.

Gadis tersebut berbual dengan Alis di dalam bahasa Inggeris. Walaupun baru berusia 4 tahun, Alis fasih berbahasa Inggeris. 
Pada usia semuda itu, Alis telah dihantar ke kelas piano dan ke kelas ballad.

Esok paginya saya bersarapan bersama Pak Lang, adik lelaki Pak Lang (Ayah Alis), Mak Alis, Alis dan sepupunya dari German serta Mak Lang saya. Saya tidak ingat apa yang Mak Lang saya masak dan sediakan untuk sarapan pagi itu.

Gadis dari Jerman sibuk melayan sepupunya yang masih kanak- kanak itu tetapi begitu  petah, keletah dan lincah pagi itu. 
Kanak- kanak tersebut berbual dalam bahasa Inggeris berslanga dengan sepupunya  dari Jerman itu.

Saya tidak banyak berbicara. Sesekali saya menjawab pertanyaan Uncle Na'i,  adik kepada Pak Lang. Selebih waktunya, saya makan dan perhatikan suasana meriah perbualan mesra di antara tuan rumah dan tetamu tetamu pagi itu.
Seronok Mak Lang melayan adik ipar dan isteri beliau serta budak petah berbicara dan sepupu darah campurannya itu.

Berbalik ke tahun 2018, menjawab soalan saya bertanyakan khabar gadis dari Jerman tersebut, Mak Lang memberitahu beberapa tahun selepas pertemuan itu, gadis dari Jerman tersebut telah meninggal dunia kerana penyakit leukimia pada usia 22 tahun.

Terkejut dan sedih saya mendengarkannya. Tak sangka beliau meninggal dunia pada usia muda. Tiada siapa yang dapat melawan takdir
kerana ajal maut adalah ketentuanNya. 
Al Fatihah untuk gadis dari Jernan.

Apa khabar pula si gadis cilik yang lincah, Alis yang petah berbahasa Inggeris itu?
Alis kini berada di Amerika Syarikat demi mengembangkan sayap kerjaya seninya di sana.

Alis menggunakan nama pentas dengan memendekkan nama beliau dari Yunalis kepada Yuna.
Pada tahun 2018, beliau telah berkahwin dengan Adam Sinclair iaitu adik bongsu kepada Arwah Ashraf dan Aishah Sinclair.

#coretanfuzzfadhilah 
Kredit Gambar: Yuna Zarai