Pages

Sunday 20 December 2020

87. Ziarah Jenazah

Pagi itu,  selepas subuh,  Nenek dan makcik-makcik saya sedang bersiap-siap setelah menerima satu panggilan telefon sebelum itu. 
Kemudian Nenek menelefon Ayah untuk memaklumkan kepada  Ayah.  Ayah ketika itu di rumah Grandpa K.  Pada mulanya,  Nenek keberatan mahu menelefon rumah Grandpa K tetapi terpaksa berbuat demikian. 

Saya hendak ikut Nenek pagi itu tetap tidak dibenarkan.  Nenek kata tak sesuai untuk saya ikut serta. 
Tapi sebelum ini ke mana-mana saja Nenek pergi, saya akan turut serta. 

Nenek memberitahu  dan menerangkan kepada saya yang ibu saudaranya, iaitu adik kepada ibunya telah meninggal dunia pagi itu. 
Nenek dan makcik-makcik perlu pergi untuk menziarahi dan memberi penghormatan terakhir buat ibu saudaranya.

  Oleh sebab itu,  Nenek tidak boleh membawa saya bersama.  Tidak sesuai.  Tidak seperti sebelum ini yang kerap kali saya ikut Nenek apabila Nenek menziarahi moyang saudara saya itu. 
Walaupun terkilan tidak dapat ikut Nenek tetapi saya akur dengan keputusan Nenek. 

Lewat petang itu,  hampir senja Nenek tiba di rumah setelah upacara pengebumian Moyang saudara saya selesai. 
Malam itu,  Nenek bercerita kepada Mak Usu saya yang tidak turut serta ikut Nenek ke majlis pengebumian.

Nenek bercerita tentang kehadiran anakanda Sultan Selangor ketika itu,  Tengku Idris Shah turut hadir mencemar duli menziarahi jenazah Moyang saudara saya serta mencemar duli memberikan penghormatan terakhir buat Moyang saudara saya. Nenek memuji Tengku Idris.
Walaupun Sultan tidak dapat hadir pagi itu, Tengku Idris telah mewakili ayahanda,  baginda.

Ketika itu,  separuh dekad kedua 1980an,  Tengku Idris menetap di Pantai Tower,  Bangsar.
Tengku Idris,  hari ini adalah Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merupakan Sultan Selangor ke-9.

Esok 11 Disember 2020
Daulat Tuanku. Merafak Sembah dan Setinggi-tinggi Ucapan Tahniah Sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang ke-75.